TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Pintasan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini, pada Khamis malam.

Mangsa yang dikenali sebagai Haziriq Saidun, 25, disahkan meninggal dunia berikutan motosikal jenis Honda EX5 ditungganginya terbabas sebelum terbakar di tempat kejadian

Sementara dua wanita yang berada dalam kereta jenis Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.41 malam.

Katanya sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan yang tiba di lokasi mendapati motosikal terbabit terbakar pada kadar 85 peratus.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian kemudian membuat kerja-kerja pemadaman kebakaran ke atas motosikal terbabit.

“Kerja-kerja pemadaman api menggunakan ‘hose reel’ berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.15 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya operasi yang diketuai Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abidul Hazman Adam tamat pada jam 12.52 tengah malam.